BAJA BIO-KIMIA MAMPU TINGKAT PENGELUARAN KELAPA SAWIT SABAH

BAJA BIO-KIMIA MAMPU TINGKAT PENGELUARAN KELAPA SAWIT SABAH

LAHAD DATU: Pembinaan kilang baja bio-kimia di negeri ini adalah penting untuk menyokong industri minyak sawit supaya tanaman itu dapat ditingkatkan dengan lebih banyak dan berkualiti.

Baja bio-kimia ini diyakini lebih mesra alam untuk perladangan dapat meningkatkan hasil tanaman dan juga mampu melawan penyakit serta meningkatkan biodiversiti tanah.

Oleh itu pelaburan dan pembukaan kilang baja bio-kimia di sini tepat pada masanya untuk menyokong industri minyak sawit dengan menghasilkan kelapa sawit yang berkualiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri menggalakkan pengeluar dan pengendali menggunakan teknologi terkini termasuk bio-teknologi untuk meningkatkan tanaman.

“Antaranya ialah amalan agronomi seperti proses pembajaan yang konsisten. Kewujudan kilang itu dapat mengimbangi perbelanjaan dalam industri kelapa sawit, terutamanya mengimport kos,” katanya di majlis pelancaran kilang Sabah Softwoods Hybrid Baja Sdn Bhd (SSHF).

SSHF adalah usaha sama di antara Sabah Softwoods Berhad dan All Cosmos Industries Sdn Bhd. Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah bagi Yayasan Sabah berkata, lokasi SSHF di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu membuktikan komitmen kerajaan dan swasta menjadikan industri minyak sawit dan sektor pembuatan baja sebagai enjin penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau juga menyambut baik inisiatif SSHF untuk menarik penduduk tempatan untuk bekerja di kilang-kilang miliknya.

Beri keutamaan pekerja tempatan

“Walaupun pergantungan negara kepada pekerja asing adalah agak tinggi, syarikat itu sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk tempatan. “Saya berharap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor kelapa sawit ini akan mengambil kesempatan meningkatkan pengeluaran di Lahad Datu untuk bekerjasama dengan SSHF bagi menjana sinergi pelaburan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SSHF, Datuk Tony Peng berkata, berkongsi pengalaman dan teknologi dalam industri baja bio-kimia oleh kedua-dua syarikat dapat menjana rantaian industri yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan ekonomi negeri. SSHF ketika ini menjalinkan hubungan kukuh dengan syarikat perladangan terkemuka di negara ini seperti IOI, Sawit Kinabalu, Benta Wawasan, Kim Loong dan Taiko.

“Syarikat itu juga bekerjasama dengan beberapa pihak yang terlibat secara langsung dalam industri minyak sawit dengan berkongsi kepakaran dan hasil penyelidikan untuk membantu sektor perladangan meningkatkan tanaman mereka,” katanya. Untuk ini, beliau berkata SSHF amat berterima kasih dengan kerjasama dari MPOB dan Sawit Kinabalu.

“Sebagai menyokong usaha kerajaan dalam pemuliharaan alam sekitar, syarikat itu mengambil inisiatif menghasilkan baja lebih mesra alam untuk perladangan,” katanya. Beliau berkata syarikat itu akan terus menghasilkan produk baja berkualiti tinggi dengan kos yang berpatutan.

Source: Free Malaysia Today

Comments are closed.