Utusan: Kuasa penyubur tanaman

BAJA yang dihasilkan daripada 100 peratus bahan kimia mungkin memberikan kesan yang negatif terhadap tumbuhan mahupun pengguna.Biarpun baja jenis itu lebih mudah untuk dihasilkan serta murah, namun kesan negatif yang akan ditanggung menyebabkan kebanyakan daripada kita akan berfikir dua kali untuk membeli produk pertanian yang menggunakan baja tersebut.

Bagi mengelakkan masalah tersebut, All Cosmos Industries Sdn. Bhd. tampil memperkenalkan baja biokimia untuk penyelesaian masalah pertumbuhan tanaman.

Menggunakan jenama RealStrong, syarikat tersebut memanfatakan teknologi yang diadaptasi dari Taiwan bagi menghasilkan baja khas untuk kegunaan ladang kelapa sawit, getah, padi, buah-buahan serta bunga-bungaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tony Peng, syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1999 di negara ini bagi memasarkan produk serta melaksanakan kajian serta perkembangan (R&D) agar produk yang dihasilkan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

Ujarnya, selain Malaysia, pihaknya juga memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Taiwan, China Amerika Syarikat dan Vietnam.

"Di sini kami menggunakan teknologi bio untuk menghasilkan baja biokimia." Penggunaan teknologi tersebut adalah untuk mengurangkan kadar bahan kimia di dalam baja, menaikan keberkesanan serta memperbaiki fungsnya," katanya ketika di temui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Tony, penggunaan teknologi bio dalam pengasilan baja bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran, malah turut menambah keberkesanan fungsi baja dalam menyuburkan tanah, membantu tumbesaran produk pertanian dengan lebih pantas dan pelbagai lagi.

"Menerusi penggunaan baja RealStrong, pengguna dapat menjimatkan kos pembajaan kerana baja ini hanya perlu ditabur tiga hingga empat kali sahaja setahun berbanding baja biasa iaitu enam hingga tujuh kali.

"Malah menerusi rekaan baharu iaitu, baja pintar (smart fertilizer) dapat mengurangkan serangan penyakit seperti serangan kulat Ganoderma sp. kepada tanaman kelapa sawit," katanya.

Sebagai contoh, syarikat tersebut telah menghasilkan baja baharu yang diinovasi khas untuk kegunaan tanaman kelapa sawit iaitu MPOB F4.

MPOB F4 merupakan baja bio kimia hasil kerjasama All Cosmos Sdn. Bhd. dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mana memiliki nutrien kimia yang seimbang , dilitupi oleh bahan organik berasaskan tumbuhan dan organisma mikro.

Baja tersebut juga merupakan kombinasi baja tiga dalam satu yang lengkap serta mesra alam.

Seperti mana yang kita ketahui, kelapa sawit merupakan antara tanaman yang pesat berkembang dan sesuai dengan iklim tropika dan dikategorikan sebagai tanaman kontan negara.

Kelapa sawit memiliki pelbagai kegunaan iaitu sebagai bahan makanan, bahan asas industri dan sumber tenaga dan sehingga kini masih tiada tanaman lain dapat menggantikan fungsi serta kelebihannya.

Justeru, permintaan terhadap tanaman itu amat tinggi dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kelebihan tanah serta cuaca yang sesuai untuk pertumbuhan kelapa sawit.

Malaysia memiliki ladang kelapa sawit yang besar, justeru penggunaan baja merupakan antara faktor penting dalam menentukan kestabilan hasil komoditi tersebut sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara yang baik.

Apa yang terdapat dalam baja RealStrong? Baja yang dihasilkan oleh syarikat tersebut terdiri daripada bahan kimia (N, P, K, Mg, B, TE) yang digabungkan bersama bahan organik berasaskan tumbuhan dan mikrob untuk menghasil tanaman berkualiti dalam jangkamasa panjang.

Malah, mereka turut menggunakan bahan yang mengandungi organisma mikro bermanfaat (EM) yang berperanan mengikat nitrogen daripada udara dan tanah, menguraikan fosfat dan potasium serta memecahkan bahan organik kepada bentuk yang boleh diserap oleh tumbuhan (akar).

Dalam pada itu, integrasi kimia dan bahan organik dilihat dapat mempertingkatkan pH tanah sekali gus menambah kecekapan penyerapan nutrien oleh tumbuhan serta merangsan bahan tersebut yang sedia ada di dalam tanah bagi kegunaan jangka masa panjang.

Kehadiran EM dalam baja tersebut menggalakkan pertumbuhan akar, pembentukan buah dan pengeluaran pucuk baru.

Malah, hasil daripada penggunaan organik semulajadi, baja bio kimia RealStrong membantu meningkatkan nutrien serta daya pegangan air di dalam tanah serta kelebihan penyerapan nutrien seperti zink, magnesium, kalsium, dan mangan.

Dihasilkan berdasar kajian saintifik ke atas tanah dan tanaman, baja bio kimia itu juga berkesan untuk membaiki struktur tanah yang bermasalah disebabkan penggunaan baja kimia yang berlebihan dalam jangka masa lama.

Jenama RealStrong menggunakan tiga sistem sinergi seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu bahan kimia, bahan organik dan organisma mikro bermanfaat (EM).

Antara produk yang terdapat dalam EM yang diperkenalkan menerusi baja bio kimia RealStrong adalah lapan jenis organisma mikro yang bertindak sebagai pengikat N (Natrium) dan penguraian unsur P (Pottasium) dan K (Kalium).

Namun bagi penyakit reput pangkal batang yang disebabkan Ganoderma boninense, terdapat sejenis fungi (kulat) yang digunakan untuk mengawalnya namun masih di peringkat kajian.

Kreativiti syarikat tersebut memanfaatkan teknologi bio telah mendapat perhatian kerajaan sekali gus telah menganugerahkan status syarikat BioNexus oleh Malaysia Biotechnology Corporation (BiotechCorp). Jelas Tony, pengiktirafan tersebut menunjukkan kerajaan peka serta menyokong sepenuhnya usaha mempertingkatkan penggunaan teknologi bio di pihak industri.

"Apa yang pihak kami harapkan adalah sokongan yang berterusan dari kerajaan serta semua pihak dalam penggunaan teknologi bio kerana teknologi ini merupakan penyelesaian terbaik terhadap penghasilan tenaga, makanan, kesihatan, alam sekitar dan pelbagai lagi," katanya.

11

Facebook Link

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140203/ag_02/Kuasa-penyubur-tanaman

Comments are closed.